PENDIDIKAN MUZIK DAN ZAMAN KOMPUTER |
|||
Minni Ang |
|||
|
||
(Ang, M. (1996). Pendidikan Muzik dan Zaman Komputer. Seminar Pendidikan Muzik Kebangsaan, 9-10 Januari 1996. Pusat Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan. 13 pp.) |
| ABSTRAK Komputer boleh digunakan sebagai alat bantuan mengajar muzik di samping membuat komposisi, persembahan dan penerbitan muzik, termasuk rakaman dan pencetakan skor muzik. Perasaan was-was terhadap pengajaran berbantukan komputer perlu disingkirkan kerana komputer tetap akan menjadi sebahagian dari masa depan kita semua. Kata kunci: Muzik komputer; Pengajaran muzik berbantukan komputer; MIDI; Multimedia; Odio digital; WWW ABSTRACT The computer can be used as a music teaching aid besides being used as a tool for composition, music performance and music production, including recording and printing of musical scores. Any doubt towards computer assisted instruction must be overcome as the computer is here to stay. Keywords: Computer music; Computer assisted music instruction; MIDI; Multimedia; Digital audio; WWW 1.0 PENGENALAN Cara penyampaian dan penyebaran maklumat sedang mengalami revolusi seperti yang terjadi semasa penciptaan alat cetak, radio, television dan komputer. Jaringan global bermakna maklumat yang dahulunya sukar diperolehi kini boleh diperolehi oleh sesiapa sahaja di mana jua dia berada. Multimedia bermakna pelbagai jenis maklumat seperti teks, grafik, muzik dan video dapat dipakejkan bersama untuk memudahkan para pengguna. 2.0 MUZIK KOMPUTER Veit [1] telah menghuraikan perkembangan muzik komputer dan mendefinisikannya sebagai muzik yang dihasilkan oleh atau melalui komputer. Penghasilan muzik komputer melibatkan dua jenis teknologi yang agak berbeza: odio digital dan perantaraan digital alat muzik yang lebih dikenali sebagai MIDI [2]. Kedua-dua teknologi ini telah mentransformasikan bukan sahaja industri penerbitan muzik tetapi juga gaya persembahan muzik serta pendekatan pendidikan muzik, lebih-lebih lagi menjelang abad ke-21. Dewasa ini, pengaruh komputer telah mencuit setiap ceruk dunia muzik. 2.1 Odio Digital Tidak pernah tidak, kita semua pasti telah bersemuka dengan sekurang-kurangnya satu daripada hasil odio digital, iaitu cakera padat. Cakera padat kini telahpun lebih luas penggunaannya serta popular di kalangan orang ramai disebabkan kualiti muziknya yang begitu tinggi berbanding dengan pita kaset yang digunakan sebelumnya. Selain daripada cakera padat, teknologi odio digital juga didapati dalam muzik yang dihasilkan oleh kibod dan sampler elektronik serta bunyi-bunyian yang dihasilkan ketika mengiringi kerja-kerja tertentu yang dilakukan oleh komputer. Prinsip yang digunakan dalam teknologi odio digital mudah sahaja. Gelombang bunyi ditawan oleh mikrofon yang menukar getaran udara kepada isyarat elektrik. Gelombang berayun yang dihasilkan itu disampelkan pada frekuensi yang tetap dan takat voltan semasa ditukar pula oleh perakam digital kepada siri digit perduaan (pola bit) secara menggunakan penukar analog-ke-digital (ADC). Amplitud gelombang semasa tersebut dikuantumkan bergantung kepada bilangan bit yang digunakan. Ketepatan ADC tersebut mewakili isyarat asal digelar sebagai resolusi sampel. Untuk mendengar semula hasil rakaman odio digital tersebut, kad bunyi atau perakam digital yang digunakan hanya perlu menyongsangkan proses ini. Pola bit dibaca oleh penukar digital-ke-analog (DAC) yang menukarkannya semula kepada siri takat-takat voltan. Siri ini diproses untuk menghilangkan ketidakseragaman yang disebabkan oleh proses pengkuantuman. Hasil pemperosesan ini merupakan gelombang berayun yang hampir serupa dengan isyarat asal. Ini pula dihantar ke amplifier dan pembesar suara yang menukarkannya semula kepada gelombang bunyi. [3]. Dua parameter penting menentukan kualiti odio yang diperolehi ialah frekuensi sampel dan resolusinya. Semakin tinggi mana-mana satu parameter ini atau kedua-duanya sekali, semakin tinggilah kualiti odio yang diperolehi. Penggunaan teknologi odio digital memudahkan kerja jurutera odio yang dapat menyunting muzik yang dirakamkan dengan terperinci dan tepat. Gelombang bunyi yang dirakam secara digital dapat diproses dengan pelbagai cara dengan mudah untuk menghasilkan rakaman muzik yang berkualiti jauh lebih tinggi daripada dahulu serta mudah pula digabungkan bersama media komputer yang lain. Odio digital boleh digunakan dalam bilik darjah untuk memperkenalkan pelajar kepada konsep gelombang bunyi dan ciri-ciri gelombang muzik. Perisian penyunting awalan yang mudah diperolehi melalui Internet, sama ada secara percuma (freeware) atau dengan bayaran yang murah (shareware), boleh digunakan untuk memperkenalkan pelajar kepada pelbagai konsep muzikal seperti pic, tempo, gema, talun dan sebagainya. Ini juga akan membina pengetahuan muzik pelajar dengan memahami asas fenomena fizikal dalam penghasilan muzik. Selain daripada itu, teknologi odio digital ini juga digunakan untuk menggabungkan rakaman muzik dan bunyi bersama media seperti teks dan grafik dalam pelbagai perisian multimedia yang boleh digunakan sebagai alat bantuan pengajaran muzik. Jadual 1: Beberapa Contoh Perisian Penyunting Odio Digital
2.2 MIDI Teknologi MIDI merupakan teknologi yang lain yang terlibat dalam penghasilan muzik komputer. MIDI mula diperkenalkan dalam tahun 1983 sebagai satu perantaraan piawai yang digunakan untuk membolehkan pelbagai jenis alat muzik elektronik seperti kibod, generator nada dan amplifier menukar data antara satu sama lain [3]. MIDI mengutuskan data persembahan muzik daripada satu alat kepada yang lain. MIDI berbeza daripada odio digital sebab ianya tidak merekodkan muzik itu sendiri tetapi hanya maklumat mengenai muzik tersebut. Sebagaimana seorang pemuzik membaca dan menginterpretasikan skor muzik yang tercetak pada kertas untuk mempersembahkan lagu yang merdu, begitu juga dengan alat muzik MIDI, sama ada ianya kibod atau generator nada atau kad bunyi dalam komputer, dapat "membaca" dan "menginterpretasikan" "skor muzik" yang merupakan kod-kod yang boleh difahami oleh alat tersebut. Teknologi MIDI ini mempunyai aplikasi yang luas dalam bidang muzik. Komposer masa kini dapat memainkan lagu ciptaan mereka pada alat muzik MIDI yang seterusnya akan merekodkan data persembahan tersebut. Data ini boleh dibaca dengan mudahnya oleh komputer untuk menerbitkan skor muzik tradisional yang boleh dicetak. Skor yang dihasilkan begini juga amat mudah diubahsuai dan disunting. Gubahan muzik lapis mudah dirakam lapisan demi lapisan dan hasil ciptaan yang lengkap mudah dimainkan semula secara keseluruhannya. Komposer tidak lagi perlu mencari dan membayar sebuah orkestra untuk mendengar persembahan lagunya yang digubah untuk media itu. MIDI merupakan satu alat pengajaran muzik yang sungguh berkesan. Ia mempunyai banyak aplikasi terutamanya dalam pengajaran kemahiran bermain alat muzik (khususnya kibod dan piano tetapi termasuk juga alat muzik lain yang mempunyai bentuk MIDI), kemahiran aural dan pengajaran teori. Jadual 2: Beberapa Contoh Perisian Pendidikan Muzik yang menggunakan teknologi MIDI sebagai asas penyampaiannya
3.0 PENGAJARAN MUZIK BERBANTUKAN KOMPUTER Perisian bagi pembelajaran muzik berbantukan komputer telah mula diperkenalkan seawal tahun 1967 di Stanford University di Amerika Syarikat [4]. Walau bagaimanapun, penggunaan komputer sebagai alat pengajaran muzik masih tidak seluas yang diharapkan oleh proponen sistem ini. Satu fakta yang menarik: selewat tahun 1993, Dunnigan [5] masih menghujah dan cuba meyakinkan para pendidik muzik untuk mula menggunakan bantuan komputer dalam pengajaran dan pengurusan bilik darjah. Kita boleh memikirkan beberapa sebab mengapa sambutan terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran muzik kurang memuaskan. Dalam kajian Krout [6] mengenai penggunaan komputer dalam bidang terapi muzik, 4 sebab utama diberikan untuk menjelaskan mengapa penggunaan komputer di bidang tersebut adalah amat sedikit: sikap tidak peduli oleh pengajar, pegangan kepada kaedah-kaedah tradisional yang lama, perisian bermutu rendah dan batasan yang disebabkan perkakasan komputer. Sikap tidak peduli pengajar dan kedegilan untuk melepaskan kaedah pengajaran tradisional mungkin juga merupakan antara halangan utama penggunaan komputer sebagai alat bantuan pengajaran muzik secara lebih meluas. Perisian terkini mempunyai kualiti yang amat tinggi dari segala aspek seperti isi kandungan, fungsi, media persembahan, antara muka pengguna (GUI), kualiti odio dan lain-lain. Perkakasan komputer pula mengalami evolusi begitu mendadak sehinggakan perkakasan 2 tahun yang lepas kini ketinggalan zaman sama sekali. Batasan perkakasan komputer yang lama seperti kualiti odio yang inferior, capaian cakera liat dan cakera liut yang amat perlahan, ketidakmampuan sistem untuk menyimpan data yang terlalu banyak (salah satu daripada ciri fail odio digital ialah ianya memerlukan ruang simpanan yang besar) serta kelambatan pencapaian data tersebut, kos perkakasan yang terlalu tinggi dan banyak perkara lagi kini tidak lagi merupakan masalah dengan generasi komputer terbaharu seperti siri PC 486-DX, Pentium PC, Power PC, Power Macintosh dan lain-lain. Sekiranya ada lagi perasaan was-was terhadap penggunaan komputer sebagai alat bantuan mengajar, mahupun sebagai media pengajian muzik yang utama, ianya mungkin berpunca daripada pengalaman pengajar atau pelajar dengan perisian dan perkakasan masa lampau yang sungguh inferior berbanding dengan apa yang wujud pada hari ini. Walau bagaimanapun, penggunaan komputer sebagai alat bantuan mengajar muzik semakin pesat meningkat dan ini mudah dilihat dengan sekali pandang apabila menggunakan mana-mana enjin-cari pada Internet [7]. Kajian oleh Chen dan Dennis [8] mendapati bahawa komputer merupakan media pengajaran yang amat sesuai bagi pengajaran sistem notasi muzik merentasi batasan budaya. Hoffman [9] menghuraikan bagaimana pengajaran bantuan komputer boleh digunakan bukan sahaja untuk mengajar harmoni secara berkumpulan dan secara maklum balas aural (ini merupakan dua aspek muzik awal yang diajar menggunakan bantuan komputer), tetapi juga untuk merapatkan jurang antara komposer, pemuzik dan para hadirin. Muzik tidak lagi merupakan fenomena mistikal yang hanya boleh difahami dan dihasilkan oleh sebilangan kecil orang yang mempunyai bakat istimewa tetapi ianya merupakan aspek kehidupan dan kebudayaan yang boleh dinikmati serta difahami oleh semua. 3.1 Multimedia Boody [10] menyatakan bahawa teknologi multimedia membolehkan pelajar mengkaji muzik secara menyeluruh dengan mendengar serta melihatnya, berbanding dengan kaedah tradisional di mana notasi atau abstrak bunyi yang lain dikaji begitu sahaja. Pada hari ini pelbagai perisian komputer yang menggunakan teknologi odio digital, MIDI dan multimedia memainkan peranan ini. Jadual 3: Beberapa contoh tajuk Multimedia mengenai pelbagai aspek Muzik
Multimedia merupakan satu alat pengajaran pendidikan muzik umum yang canggih dan terunggul. Ianya menggabungkan pelbagai komponen yang diperlukan bagi pembelajaran muzik secara menyeluruh seperti muzik, bunyi, video, teks serta grafik pegun dan bergerak, dan membawa balik aspek keseronokan belajar. Multimedia interaktif bagi tujuan pengajaran kini luas digunakan serta jauh lebih maju berbanding dengan perisian yang wujud pada tahun 1988 bila Hapeshi dan Jones menjalankan tinjauan isu-isu kebolehgunaan teknologi ini [11]. Kini terdapat pelbagai jenis perisian multimedia, kebanyakannya diterbitkan pada media CD-ROM disebabkan keupayaan media ini untuk menyimpan data yang sungguh banyak, iaitu suatu kriteria penting untuk muzik bermutu tinggi, grafik dan animasi. Satu-satunya kelemahan penggunaan multimedia sebagai alat pengajaran muzik yang tunggal adalah ketiadaan perhubungan peribadi antara pelajar dan pengajar, satu aspek yang paling penting dalam pembelajaran kemahiran bermain alat muzik pada peringkat tinggi. Bagi tusyen instrumental, multimedia mungkin paling sesuai digunakan sebagai alat pengajaran sokongan. Walau bagaimanapun, multimedia interaktif boleh digunakan dengan berkesan sebagai alat pengajaran yang utama ataupun sebagai media pengantar tunggal dalam pengajian segala aspek muzik yang lain. 3.2 Pendidikan Muzik melalui World Wide Web (WWW) WWW merupakan platform pendidikan yang terunggul. Ia menggabungkan kuasa hebat jaringan sedunia Internet dengan kecekapan hypermedia pelbagai lapangan dan kemudahan GUI. WWW masih dalam proses pencelikan diri terhadap potensi hypermedia dalam talian (on-line) [12]. Perisian browser GUI yang asal, NCSA Mosaic, hanya memberi sokongan kepada hyperteks dan grafik sahaja. Perisian browser yang paling popular pada hari ini, Netscape Navigator, berupaya mengendalikan apa jua bentuk data dengan menggunakan perisian pemain parti-ketiga konfigurasi luaran. Penggunaan bahasa pengaturcaraan Java yang dikeluarkan pada tahun ini oleh Sun Microsystems membolehkan animasi dan odio terbenam bersama hyperteks dan grafik dokumen WWW. Browser Netscape dan HotJava (juga keluaran Sun) kedua-duanya menyokong fungsi tersebut. Semua perkembangan ini mempunyai implikasi dari segi pendekatan pendidikan muzik. Media yang terbaru ini mempunyai potensi besar sebagai media pengantar pengajian muzik. Sumber muzik di Internet sudah lama wujud serta luas pula topik liputannya [13]. Walau bagaimanapun, baru-baru ini sahajalah potensi hypermedia dalam talian mula digunakan secara menyeluruh [14]. Jadual 4: Contoh hasil pencarian oleh 2 enjin-cari WWW
Pada masa ini, bilangan pelajaran muzik dalam talian pada WWW masih terhad. Kebanyakannya masih bergantung kepada data dalam bentuk teks, walaupun keadaan ini memang cepat berubah untuk merangkumi pelbagai jenis data. Bill Powelson's School of Drums [15] merupakan salah satu daripada projek pendidikan muzik yang menarik yang menggunakan WWW. Ianya berdasarkan pelajaran yang disampaikan menggunakan hyperteks dan grafik tetapi menambahkan ciri interaktif secara menggunakan borang dalam talian dan perbincangan melalui mel elektronik. Sebuah lagi projek yang amat menarik, DOTCOM [16], memerlukan pengguna membuat input melalui skrin WWW dalam talian. Apabila pengguna menekan butang dalam talian, data tersebut dihantar ke server menjanakan sebuah fail odio di mana hasil keluarannya boleh didengar secara serta-merta oleh pengguna. Real Audio [17] ialah salah satu contoh projek yang merupakan satu kemaraan yang penting dalam teknologi WWW di mana pengguna sekarang tidak lagi perlu menunggu fail odio yang besar dipindahkan secara seluruhnya ke dalam cakera liat komputer klien sebelum ianya boleh dimainkan tetapi boleh mendengar hasil keluaran fail tersebut sambil ianya sedang dipindahkan, iaitu dalam masa nyata. Ini bermakna bahawa perisian interaktif bagi tujuan pendidikan muzik secara menyeluruh boleh diperkembangkan dengan lebih mudah lagi. Kebanyakan tajuk multimedia hari ini diedarkan melalui CD-ROM disebabkan ruang simpanan data yang besar diperlukan. Penggunaan WWW bermakna masalah simpanan data menjadi masalah server dan bukan masalah pengguna. Kemaraan pesat teknologi WWW sudah pasti akan menyumbang ke arah penggunaannya sebagai salah satu daripada media pengantar yang utama untuk semua jenis komunikasi termasuk pengajian muzik. 4.0 KESIMPULAN Zaman komputer telah mengubahkan persepsi dan pendekatan pendidikan muzik. Komputer merupakan alat yang amat berkuasa serta fleksibel, dan perkembangan teknologi multimedia kini bermakna bahawa ianya memang cukup sesuai digunakan sebagai alat bantuan pengajaran muzik mahupun sebagai media pengantar yang utama. Perkakasan komputer dan perisian muzik yang boleh didapati pada hari ini sungguh mengkagumkan dari segi bilangan jenis serta kualitinya. Ruang untuk perkembangan dan penyelidikan lanjut masih terbuka luas disebabkan teknologi yang setahun jagung usianya. Para pengajar harus mengatasi segala perasaan was-was terhadap penggunaan komputer di bidang muzik sebab nak tak hendak ia merupakan sebahagian dari masa depan kita semua. RUJUKAN [1] Veit, S. (1995). "What ever happened to ... PC music?". Computer Shopper. 15(2): 568-569. [2] Holsinger, E. (1994). How Music and Computers Work. Emeryville, CA: Ziff-Davis Press. [3] Rubin, D.M. (1995). The Desktop Musician. Berkeley, CA: Osborne McGraw-Hill. [4] Higgins, W. (1992). Technology. Handbook of Research on Music Teaching and Learning. New York: Schirmer Books: 480-497. [5] Dunnigan, P. (1993). "The Computer in Instrumental Music". Music Educators Journal. 80(1): 32-37. [6] Krout, R.E. (1988). Microcomputer Applications in Music Theory. Doctoral Dissertation. New York: Columbia University. [7] Newman, L. (1995). Music Education Online. Los Angeles: Childrens Music Workshop. http://www.geopages.com/Athens/2405/ [8] Chen, S.S. & Dennis, J.R. (1993). "Linking Different Cultures by Computers: A Study of Computer-Assisted Music Notation Instruction". Journal of Educational Technology Systems. 21(3): 207-224. [9] Hoffmann, J.A. (1991). "Computer-Aided Collaborative Music Instruction". Harvard Educational Review. 61(3): 270-278. [10] Boody, C.G. (1992). "New Tools for Music Education". Music Educators Journal. 79(3): 26-29. [11] Hapeshi, K. & Jones, D. (1992). "Interactive multimedia for instruction: a cognitive analysis of the role of audition and vision". Intl. J. Human-Computer Interaction. 4(1): 79-99. [12] Nielsen, J. (1995). Multimedia and Hypertext. The Internet and Beyond. California: AP Professional. [13] Willey, R. (1995). Music Resources on the Internet. San Diego: University of California. http://crca-www.ucsd.edu/bobw/tdime.html [14] Latukhin, D. (1995). Music Distance Education Project. Russia: University of Chelyabinsk. http://www.urc.ac.ru/staff/dl/MDEproject.html [15] Powelson, B. (1995). Bill Powelson's School of Drums. http://www.catalog.com/drummers/bphome0/ [16] Yasaka, K. (1995). DOTCOM. Japan: Keio University. http://www.sdw.com/m/ltokyo/dotcom/ [17] Progressive Networks. (1995). Real Audio Home Page. http://www.realaudio.com/ [18] Pope, S.T. (1994). A Taxonomy of Computer Music. Computer Music Journal 18:1 http://www-mitpress.mit.edu/Computer-Music-Journal/EdNotes/Taxonomy [19] Abas, Z.W., Ng, K.H. & Goh, K.S. (1994). Kamus Dwibahasa Komputer. Shah Alam: Federal Publications Sdn. Bhd. |