PERANAN MUZIK DALAM MEMBINA BANGSA MALAYSIA |
|||
Minni Ang |
|||
|
||
(Ang, M. (1996). Peranan Muzik dalam Membina Bangsa Malaysia. Kongres Sejarah Kebangsaan II, 26-28 November 1996. Persatuan Sejarah Malaysia, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. 7 pp.) |
| Abstrak Muzik mempunyai kesan ke atas emosi, intelek dan rohani manusia. Ianya digunakan dalam pelbagai bidang di mana kawalan mana-mana aspek tersebut diperlukan. Muzik telah memainkan peranan penting dalam pembangunan gerakan Nasionalisme di benua Eropah pada pertengahan abad ke-19. Muzik Malaysia yang mencerminkan masyarakat berbilang bangsa yang bersatupadu belum pernah didefinisikan walaupun muzik setiap kaum ada membawa kesannya yang tersendiri kepada muzik kaum yang lain. Muzik boleh digunakan dalam setiap aspek hidup kita untuk membangunkan semangat serta membina bangsa Malaysia. Kata kunci: Muzik; Nasionalisme; Psikologi Muzik; Sejarah Muzik; Sosiologi Muzik. Pengenalan "Composers and performers of all cultures, theorists of diverse schools and styles, aestheticians and critics of many different persuasions are all agreed that music has meaning and that this meaning is somehow communicated to both participants and listeners. This much, at least, we may take for granted. But what constitutes musical meaning and by what processes it is communicated has been the subject of numerous and often heated debates." (Meyer, 1956, ms.1). [1]. "Just what constitutes the power of music? Is it the dynamics or the rhythm? Is it the separate notes or the whole composition? Is it the melody? Is it physical vibrations or is it the mathematical concept of the physics of these vibrations in the context of the melody with its rhythm and dynamics? . . . . each one of us can participate in the total spectrum of music and can make use of it at will -- learning to estimate what kind of forces there are that move music and how great they are. Trying to discover how music can seduce, comfort, convince, delight and move us. Trying to discover what music can do with simple and complicated melodies, with sound patterns that use a greater or smaller range of dynamics and that possess a large repertoire of rhythms. Humans have known for millennia that music can do this with conventional or unconventional compositions, with ingenious or simple constructions or vibrations in space and time and many have though about this subject in centuries past. But we know little or nothing about how this is accomplished through music." (Droh, 1992, ms.1-20, dalam Spintge & Droh). [2]. Bahawa muzik mengakibatkan reaksi di kalangan manusia tidak boleh dinafikan. Walau bagaimanapun, pakar psikologi belum dapat memastikan setakat manakah reaksi tersebut disebabkan oleh sifat intrinsik muzik itu sendiri dan setakat manakah ianya disebabkan oleh faktor lain yang mungkin mempengaruhi persepsi individu terhadap muzik [3]. Sungguhpun kaitan sebenar di antara muzik dan manusia belum difahami dengan sepenuhnya, pihak komersial sanggup melabur berjuta-juta ringgit untuk menggunakan muzik dalam mempromosikan barangan atau servis yang ditawarkan. Wang ringgit yang dilaburkan ini merupakan suatu kenyataan kepercayaan orang ramai terhadap pengaruh muzik ke atas manusia. Industri muzik merupakan suatu industri yang sungguh besar yang melibatkan bukan sahaja pemuzik dan komposer tetapi juga syarikat rakaman, pengurus artis, penerbit, pakar pemasaran, media massa, peniaga, peguam, pakar elektronik dan orang dari pelbagai jenis bidang lain. [4]. Bidang terapi muzik pula merupakan suatu disiplin muzik yang khusus yang muncul di kedua-dua benua Amerika dan Eropah lebih kurang pada masa yang sama di awal abad ke-20 [5]. Sejak awal abad ini, muzik dimainkan di hospital dengan tujuan membantu proses pemulihan serta meninggikan semangat pesakit [6]. Muzik dipercayai mempercepatkan fungsi metabolisme serta melegakan tekanan jiwa [7]. Bidang terapi muzik diiktiraf sebagai suatu disiplin akademik yang tersendiri serta mustahak dengan penubuhan program peringkat universiti oleh Kansas University di Amerika Syarikat dalam tahun 1946 [5]. Di United Kingdom pula, pakar terapi muzik diiktiraf sama taraf dengan profesional para-perubatan yang lain apabila Jabatan Kesihatan dan Sekuriti Sosial menganugerahkan mereka dengan struktur gaji dan pekerjaan yang sah [8]. Semua ini menunjukkan bahawa muzik boleh membawa faedah yang penting kepada manusia sekiranya ianya digunakan dengan betul. Kajian mendalam terhadap perhubungan muzik dengan perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa muzik dapat memainkan peranan penting dalam memperkembangkan kemahiran kognitif, fizikal dan sosial kanak-kanak [9, 10]. Kerajinan yang diperlukan dalam pembelajaran kemahiran bermain sesuatu alat muzik dapat membina disiplin. Kanak-kanak yang aktif bermain muzik secara berkumpulan pula dapat memperkembangkan kemahiran berinteraksi secara sosial. Keyakinan diri pula diperkembangkan apabila seseorang kanak-kanak itu berjaya bermain sebuah lagu. Daya kreatif dibina apabila kanak-kanak digalakkan mencipta lagu sendiri. [11]. Muzik telah lama dimasukkan dalam kurikulum peringkat sekolah rendah dan menengah di negara Barat, dan baru-baru ini ianya mula diperkenalkan di sekolah di Malaysia [12]. Ini menandakan bahawa muzik diiktiraf sebagai suatu mata pelajaran yang patut dipelajari sebab ianya dapat membawa faedah. Contoh-contoh penggunaan muzik yang dibincangkan di atas menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada masyarakat umum kenal bahawa muzik boleh mempengaruhi manusia. Pengaruh muzik ini tidak berhenti setakat individu sahaja, tetapi dapat juga mempengaruhi masyarakat secara lebih umum, khususnya dalam membina semangat nasionalisme di kalangan rakyat sesuatu negara. Ini dilihat dalam pembangunan gerakan Nasionalisme di benua Eropah pada pertengahan abad ke-19 dan awal abad ke-20. Sejarah Nasionalisme Muzik Semangat nasionalisme mula dibangunkan di benua Eropah semasa Revolusi Perancis dan Perang Napolean pada awal abad ke-19. Semangat ini mempengaruhi ramai komposer pada pertengahan abad yang sengaja mencipta lagu yang mempunyai identiti kebangsaannya yang tersendiri. Lagu dan tarian rakyat serta melodi baru yang menggunakan elemen lagu rakyat sengaja disertakan dalam karya komposer nasionalis ini. Komposer nasionalis sering mencipta lagu dan opera yang mempersembahkan sejarah, legenda atau landskap masing-masing. Ritma, corak nada, tekstur dan melodi yang berpunca dari muzik tradisional dipaparkan dalam membina gaya komposisi kebangsaan yang tersendiri. [13]. Di setiap negara muncul komposer yang mewujudkan muzik kebangsaan dengan identiti masing-masing yang tersendiri. Di negara Rusia, kumpulan The Russian Five yang terdiri daripada Mily Balakirev, Cesar Cui, Alexander Borodin, Nikolai Rimsky-Korsakov dan Modest Mussorgsky berpakat dengan tujuan mewujudkan muzik Rusia yang bebas dari pengaruh muzik Jerman, Itali dan Perancis yang menguasai muzik di Eropah pada masa itu. Walaupun mereka berjaya mencipta beberapa karya yang penting, Peter Tchaikovsky (1840-1893), yang bukannya anggota kumpulan tersebut, merupakan komposer Rusia yang paling terkenal yang berjaya membangkitkan identiti muzik Rusia bukan sahaja di negara Rusia tetapi di seluruh dunia. [13, 14]. Komposer lain mewujudkan muzik kebangsaan di negara yang lain. Bedrich Smetana (1824-1884) dan Anton Dvorak (1841-1904) di Czech, Bela Bartok (1881-1945) di Hungary, Jean Sibelius (1865-1957) di Finland, Edvard Greig (1843-1907) di Norway, Edward Elgar (1857-1934) di England, dan Isaac Albeniz (1860-1909) dan Manuel de Falla (1876-1946) di Sepanyol merupakan sebahagian daripada komposer begini. Giuseppe Verdi (1813-1901) sengaja melambangkan semangat nasionalis Itali dalam segala karyanya (khususnya opera), seperti juga Richard Wagner (1813-1883) di negara Jerman. Komposer di Amerika Syarikat tidak pula ketinggalan dalam mewujudkan identiti unik mereka. Aaron Copland (1900-1990) dan George Gershwin (1898-1937) adalah di antara komposer yang berjaya menimbulkan muzik Amerika yang mempunyai cirinya yang tersendiri. [13,14]. Bagi setiap komposer di atas, bangsa dan negara masing-masing dicerminkan dalam karya komposisi mereka. Muzik digunakan untuk menimbulkan semangat kekitaan serta untuk melambangkan identiti unik negara. Muzik juga membayangkan kebudayaan dalam mana ianya wujud. Bahawa ini berjaya dilakukan paling nyata dicerminkan dalam pengaruh muzik Wagner dalam pembangunan semangat nasionalisme Jerman di bawah pimpinan Adolf Hitler. [15]. Peranan Muzik Popular pada Zaman Terkini Muzik popular masa kini mempunyai pengaruh yang luas, khususnya di kalangan belia. Pengaruh ini harus dikenali, diiktiraf serta difahami sekiranya sesuatu identiti muzik kebangsaan ingin diwujudkan. Ini disebabkan pengaruh muzik pop memang akan wujud akibat peranan media massa. Jika daya tarikan muzik ini dapat difahami barulah kesan insan buruk kebudayaan popular dapat diatasi dan digantikan dengan kesan insan yang murni. Para artis dunia muzik pop diminati ramai oleh sebab kebolehan mereka untuk berkomunikasi dengan para pendengar mereka. [16]. Artis popular selalunya menyanyi tentang isu-isu yang mustahak kepada kalangan belia seperti perhubungan lelaki-wanita, perhubungan ibubapa dengan anak, dan sebagainya. Rentak dan irama lagu yang moden dapat menawan hati remaja yang gemarkan perasaan yang dialami ketika mendengar atau bermain muzik begitu. Dalam membentukkan identiti muzik kebangsaan, pelbagai elemen positif dalam muzik kegemaran ramai perlu diambil kira supaya muzik bercorak nasionalis tidak dipersepsikan sebagai membosankan atau tiada kena-mengena dengan hidup seharian. Elemen-elemen buruk pula harus diketepikan dan digantikan dengan elemen-elemen muzik tradisional yang terdapat di negara ini supaya suatu jenis muzik yang betul-betul melambangkan identiti rakyat Malaysia secara keseluruhannya dapat diwujudkan Muzik Malaysia Muzik Malaysia yang mencerminkan masyarakat berbilang bangsa yang bersatupadu belum pernah didefinisikan walaupun muzik setiap kaum ada membawa kesannya yang tersendiri kepada muzik kaum yang lain. Dalam proses membina Bangsa Malaysia, sifat keunikan negara kita di mana pelbagai jenis kaum hidup aman sentosa harus dititikberatkan. Mengikut perangkaan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia [17], populasi negara kita terdiri daripada kaum Melayu (54.5%), China (29%), India (8%), orang asli (8%, kebanyakannya kaum Iban dari Sarawak dan kaum Kadazan dari Sabah dengan kaum Orang Asli semenanjung hanya membentukkan 0.5% daripada jumlah populasi Malaysia) dan lain-lain (0.5%, kebanyakannya Arab, Sinhalese, Eurasians dan Eropah). Untuk mendefinisikan sesuatu budaya Malaysia yang bersepadu bukannya mudah. Masyarakat majmuk Malaysia mengekalkan tradisi kebudayaan yang kepelbagaian yang walaupun saling berinteraksi masih mengekalkan tangen identiti masing-masing [18]. Information Malaysia 1994 YearBook [19] menghuraikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengandungi 5 jenis budaya berasingan - Islam, China, India, Barat dan Asli - dan menghujah bahawa wujudnya bersama 5 budaya ini melalui zaman membawa maksud mereka pasti telahpun menyerap ciri-ciri satu sama lain untuk membentukkan suatu budaya Malaysia yang unik. Tan [20] mengenalpasti pengaruh opera China, lagu Hindustani dan vaudeville Barat dalam huraiannya tentang perkembangan bangsawan, atau teater popular Melayu, yang dilahirkan oleh bentuk teater Melayu tradisional. Orkestra Melayu yang mengiringi persembahan bangsawan dihuraikan sebegai kumpulan alat muzik yang berasal dari budaya India, Barat, Amerika Latin dan Melayu [20]. Matusky [21] menjelaskan bahawa dondang sayang dipercayai berasal dari kalangan bersama kaum Melayu dan kaum China Baba dan Nyonya di Melaka. Shafiee Ahmad and Sulaiman Zakaria [22] memerhatikan bahawa kaum China Baba dan Nyonya selalunya menyanyi semata-matanya dalam Bahasa Melayu serta menggunakan gong dan gendang Melayu sebagai alat muzik utama mereka. Malm [23] pula menyenaraikan dengan terperinci pengaruh muzik merentasi budaya yang wujud dalam pelbagai jenis muzik di Malaysia: zapin yang dibawa masuk oleh kaum Arab, bangsawan yang di bawa masuk dari India pada zaman medieval, opera China, manora dengan pengaruh penganut Buddha kaum Thai and pengaruh Hindu, bersilat yang Malm menghuraikan sebagai tarian perang yang mempunyai kaitan dengan tarian perang dari Indonesia, gamelan yang dibawa masuk dari Jawa, nobat yang berasal dari lapangan diraja Islam di India, joget yang menggunakan alat muzik Barat, Arab dan Asli, serta hadrah yang berasal dari Timur Tengah. Di kalangan artis popular pula, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee (1929-1973) merupakan pejuang seni yang paling banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan muzik di Malaysia dan pembentukan muzik Malaysia yang tersendiri. [24]. Beliau berhasrat untuk membentukkan gaya muzik tanahair yang unik dengan ciri-cirinya yang tersendiri yang menggabungkan elemen muzik dari pelbagai budaya yang wujud di Malaysia. Beliau mencipta lebih daripada 250 buah lagu yang kebanyakannya masih popular pada masa kini. Karya beliau menggabungkan elemen muzik Melayu tradisional, muzik Barat, muzik Hindustani dan muzik Timur Tengah [24]. Terdapat ramai artis terkini yang juga berusaha untuk menggabungkan pelbagai elemen muzik tradisional dari pelbagai kaum di Malaysia dalam lagu ciptaan dan persembahan mereka. Artis begini, seperti Zainal Abidin, M. Nasir, Sheila Majid, Jenny Chin, Mac Chew, Michael Veerapan dan Zahid Ahmad semuanya boleh dianggap sebagai memainkan peranan dalam pembentukan identiti budaya muzik Malaysia yang bersepadu. Walaupun demikian, harus dititikberatkan bahawa Muzik Malaysia yang mencerminkan masyarakat berbilang bangsa yang bersatupadu belum pernah didefinisikan secara formal. Media masa boleh memainkan peranan yang penting dalam membentukkan identiti muzik Malaysia yang boleh digunakan dalam membina Bangsa Malaysia. Sebagaimana yang telah dilihat, muzik memang boleh digunakan untuk tujuan yang murni, dan ianya amat sesuai dalam membangunkan semangat nasionalisme serta membina identiti kebangsaan di kalangan rakyat sesuatu negara. Media masa seperti television, radio, dan muzik yang dimainkan di bas mini, kompleks beli-belah dan sebagainya semuanya mempunyai pengaruh yang mendalam dan berkesan ke atas masyarakat umum disebabkan sifat sentiasa adanya media ini di semua tempat. Sekadar muzik masih dimainkan melalui saluran tersebut, pengaruh muzik ke atas orang ramai tidak dapat dielakkan. Muzik yang melambangkan ciri-ciri yang menyumbang terhadap pembentukan masyarakat yang sihat harus dipromosikan melalui saluran tersebut. Sistem pendidikan memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dari media masa. Melalui sistem pendidikan, orang ramai boleh dididik untuk mengenal dan mengapresiasi muzik yang elok dan baik pengaruhnya. Muzik di sekolah dapat membentukkan generasi muda yang matang fikirannya. Pelajar harus diperkenalkan kepada segala jenis muzik dengan keyakinan bahawa pendedahan kepada muzik yang baik akan membentukkan kegemaran terhadap muzik yang baik dan pendedahan terhadap muzik yang kurang baik akan menimbulkan kesedaran pelajar terhadap elemen buruk yang wujud dalam muzik begitu. Multimedia Information Superhighway atau Internet pula boleh juga memainkan peranan yang penting dalam membina Bangsa Malaysia. Imej budaya Malaysia boleh dipaparkan ke seluruh dunia. Disebabkan sifat muzik dan sifat multimedia, media ini merupakan pentas yang amat sesuai untuk mempersembahkan bangsa Malaysia yang bersatupadu yang dicerminkan oleh muzik Malaysia yang bersepadu. Kesimpulan Muzik memang sanggup memainkan peranan yang besar dalam membina Bangsa Malaysia. Tertinggallah kepada diri kita semua untuk menggunakan media komunikasi yang berkuasa ini dengan cara yang berkesan. Rujukan [1] Meyer, L. B. (1956). Emotion and Meaning in Music. Chicago: University of Chicago Press. [2] Spintge, R. & Droh, R., Eds. (1992). Music Medicine. St. Louis: MMB Music. [3] Stijnen, J. (1995). The Psychology Of Music. http://michotte.psy.kuleuven.ac.be/%7Epeterd/RESEARCH.HTML [4] Barrow, T. & Newby, J. (1995). Inside the Music Business. London: Blueprint. [5] Bunt, L. (1994). Music Therapy. London: Routledge. [6] Blair, D. (1964). Arts in Society: Music Therapy. New Society. 30 Jan 64. p26. [7] Feder, E. & Feder. B. (1981). The Expressive Arts Therapies: Art, Music and Dance as Psychotherapy. New Jersey: Prentice-Hall. [8] Department of Health and Social Security Memorandum: PM (82) 6. [9]Draper, T.W. & Gayle, C. (1986). An Analysis of Historical Reasons for Teaching Music to Young Children. Music and Child Development. New York: Springer-Verlag. pp 194-205. [10] Scott-Kassner, C. (1992). Research on Music in Early Childhood. Handbook of Research on Music Teaching and Learning. New York: Schirmer Books. pp. 651-668. [11] Peery, J.C. & Peery, I.W. (1986). The Role of Music in Child Development. Music and Child Development. New York: Springer-Verlag. pp. 3-31. [12] Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Kurikulum 6/94 pada 22 Disember 1994. [13] Kamien, R. (1996). Music, An Appreciation. New York: McGraw-Hill. [14] Grout, D.J. & Palisca, C.V. (1988). A History of Western Music. London: J.M. Dent & Sons. [15] Grolier Electronic Publishing, Inc. (1996). Richard Wagner. http://weber.u.washington.edu/~sbode/music/german2.html [16] Lull, J. (1987). Popular Music and Communication. CA: SAGE Publications. [17] Malaysia, Jabatan Perangkaan. (1993) Yearbook of Statistics 1992. Kuala Lumpur: Jabatan Perangkaan. [18] Rahmah Bujang. (1987). Boria. A Form of Malay Theatre. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies. [19] Abdul Rahim Ismail (Ed.) (1994). Information Malaysia 1994 Yearbook. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. [20] Tan, S.B. (1993). Bangsawan. A Social and Stylistic History of Popular Malay Opera. Singapore: Oxford University Press. [21] Matusky, P. (1994). Traditional Music among the Singapore Malays: Notes and Reflections on Old Genres in a New Urban Context. Tirai Panggung. 2: 43-56. [22] Shafiee Ahmad & Sulaiman Zakaria. (1992). Kesenian di Malaysia. Kuala Lumpur: Buku Must Sdn. Bhd. [23] Malm, W.P. (1974). Music in Kelantan and Malaysia: some of its cultural implications. Studies in Malaysian Oral and Musical Traditions. Michigan Papers on South and Southeast Asia. 8: 1-46. [24] Arkib Negara. (1986). Pameran di Pustaka Peringatan P.Ramlee. Setapak, Kuala Lumpur. |